Gunakan AssistiveTouch pada iPad
AssistiveTouch membantu anda untuk menggunakan iPad jika anda menghadapi kesukaran menyentuh skrin atau menekan butang. Anda boleh menggunakan AssistiveTouch tanpa sebarang aksesori untuk melaksanakan tindakan atau gerak isyarat yang sukar buat anda. Anda juga boleh menggunakan aksesori penyesuaian yang serasi (seperti kayu bedik) bersama-sama AssistiveTouch untuk mengawal iPad.
Dengan AssistiveTouch, anda boleh menggunakan ketikan mudah (atau yang sama pada aksesori anda) untuk melaksanakan tindakan seperti yang berikut:
Buka menu AssistiveTouch
Pergi ke skrin Utama
Dwiketik
Lakukan gerak isyarat berbilang jari
Panggil Siri
Akses Pusat Kawalan, pemberitahuan, skrin Kunci, atau Penukar App
Laraskan kelantangan iPad
Goncang iPad
Ambil gambar skrin
Gunakan Apple Pay (pada model yang menyokong Apple Pay)
Sebut skrin
Control Analytics
Mulakan semula iPad
Sediakan AssistiveTouch
Minta Siri. Sebutkan sesuatu seperti: “Aktifkan AssistiveTouch” atau “Nyahaktifkan AssistiveTouch.” Ketahui cara meminta Siri.
Atau lakukan yang berikut:
Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch.
Aktifkan AssistiveTouch.
Untuk menyesuaikan AssistiveTouch, ketik mana-mana yang berikut:
Sesuaikan Menu Peringkat Atas: Menu boleh mempunyai sehingga lapan tindakan.
Satu Ketik, Dwiketik, atau Tekan Lama: Tetapkan tindakan tersuai yang berjalan apabila anda berinteraksi dengan butang menu.
Kelegapan Melahu: Laraskan keterlihatan butang menu apabila tidak digunakan.
Cipta Gerak Isyarat Baru: Tambahkan gerak isyarat kegemaran anda.
Petua: Untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan AssistiveTouch dengan cepat, klik tiga kali butang atas atau klik tiga kali butang Utama.
Alihkan butang menu AssistiveTouch
Seret butang menu ke lokasi baru pada skrin.
Gunakan AssistiveTouch
Ketik butang menu, kemudian pilih tindakan atau gerak isyarat.
Untuk gerak isyarat berbilang jari, lakukan yang berikut:
Cubit: Ketik Tersuai, kemudian ketik Cubit. Apabila bulatan cubit muncul, sentuh di mana-mana pada skrin untuk menggerakkan bulatan cubit, kemudian seretnya ke dalam atau luar untuk menjalankan gerak isyarat cubit. Apabila anda selesai, tekan butang menu.
Leret atau seret berbilang jari: Ketik Peranti > Lagi > Gerak Isyarat, kemudian ketik bilangan digit yang diperlukan untuk gerak isyarat. Apabila bulatan muncul pada skrin, leret atau seret mengikut arah yang diperlukan oleh gerak isyarat. Apabila anda selesai, tekan butang menu.
Untuk kembali ke menu sebelumnya, ketik anak panah di bahagian tengah menu. Untuk keluar daripada menu tanpa melakukan gerak isyarat: Ketik mana-mana di luar menu.
Cipta gerak isyarat tersuai
Anda boleh menambahkan gerak isyarat kegemaran anda (seperti sentuh dan tahan atau putaran dua jari) kepada menu AssistiveTouch. Anda juga boleh mencipta beberapa gerak isyarat dengan sudut putaran yang berbeza.
Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch > Cipta Gerak Isyarat Baru.
Laksanakan gerak isyarat anda pada skrin rakaman. Contohnya:
Gerak isyarat sentuh dan tahan: Sentuh dan tahan jari anda dalam satu tempat sehingga bar kemajuan rakaman mencapai separuh, kemudian angkat jari anda. Berhati-hati agar tidak menggerakkan jari anda semasa rakaman, jika tidak, gerak isyarat akan dirakamkan sebagai seretan.
Gerak isyarat putaran dua jari: Putarkan dua jari pada skrin iPad di sekeliling titik antaranya. (Anda boleh melakukan ini dengan satu jari atau stilus—cuma cipta setiap lengkungan secara berasingan, satu demi satu.)
Jika anda merakam jujukan ketikan atau seretan, semuanya akan dimain balik pada masa yang sama. Contohnya, menggunakan satu jari atau stilus untuk merakam empat ketikan berjujukan yang berasingan di empat lokasi atas skrin akan mencipta ketik empat jari serentak.
Jika gerak isyarat anda tidak menjadi, ketik Batal, kemudian cuba lagi.
Apabila anda berpuas hati dengan gerak isyarat anda, ketik Simpan, kemudian namakan gerak isyarat.
Untuk menggunakan gerak isyarat tersuai anda, ketik butang menu AssistiveTouch, ketik Tersuai, kemudian pilih gerak isyarat. Apabila bulatan biru mewakili gerak isyarat anda muncul, seretnya ke tempat yang anda mahu menggunakan gerak isyarat, kemudian lepaskan.