Sediakan perkhidmatan selular pada iPhone
Sambungan selular pada iPhone anda memerlukan SIM daripada pembawa; hubungi pembawa anda untuk menyediakan pelan selular.
iPhone X dan model lebih lama menyokong satu pelan selular menggunakan nano-SIM.
iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR menyokong Dwi SIM menggunakan nano-SIM dan eSIM (tidak tersedia di semua rantau; iOS 12.1 atau lebih baru).
Ini adalah sesetengah daripada banyak cara anda boleh menggunakan Dwi SIM:
Gunakan satu nombor untuk perniagaan dan nombor lain untuk panggilan peribadi.
Tambah pelan data setempat apabila anda melancong ke rantau lain.
Asingkan pelan suara dan data.
Nota: Untuk menggunakan dua pembawa berbeza, iPhone anda mesti dibuka kunci.
Pasang nano-SIM
Masukkan klip kertas atau alat mengeluarkan SIM ke dalam lubang kecil dulang SIM, kemudian tolak ke dalam iPhone untuk mengeluarkan dulang.
Nota: Bentuk dan orientasi dulang SIM bergantung pada model iPhone dan rantau anda.
Keluarkan dulang daripada iPhone.
Letakkan nano-SIM dalam dulang. Bucu bersudut menentukan orientasi yang betul.
Masukkan dulang semula ke dalam iPhone.
Jika anda menyediakan PIN pada nano-SIM sebelumnya, masukkan PIN dengan berhati-hati apabila digesa.
AMARAN: Jangan cuba meneka PIN SIM. Tekaan yang salah boleh mengunci SIM anda secara kekal dan anda tidak boleh membuat panggilan telefon atau menggunakan data selular menerusi pembawa anda sehingga anda mendapat SIM yang baru. Lihat artikel Sokongan Apple Gunakan PIN SIM untuk iPhone atau iPad anda.
Penting: Nano-SIM mungkin diperlukan untuk menggunakan perkhidmatan selular apabila bersambung ke rangkaian GSM dan sesetengah rangkaian CDMA. iPhone diaktifkan pada rangkaian wayarles CDMA juga boleh menggunakan nano-SIM untuk bersambung ke rangkaian GSM, terutamanya untuk perayauan antarabangsa. iPhone anda tertakluk pada dasar penyedia khidmat wayarles anda, yang mungkin termasuk pengehadan bertukar penyedia khidmat dan perayauan, walaupun selepas penamatan sebarang kontrak khidmat minimum diperlukan. Hubungi penyedia khidmat wayarles anda bagi mendapatkan butiran lanjut. Ketersediaan keupayaan selular bergantung pada rangkaian wayarles, model iPhone anda, serta lokasi anda.
Sediakan pelan selular anda dengan eSIM
Pada model yang menyokong eSIM, eSIM yang disediakan oleh pembawa anda disimpan secara digital dalam iPhone.
Pergi ke Seting > Selular, kemudian ketik Tambah Pelan Selular.
Tempatkan iPhone supaya kod QR yang disediakan oleh pembawa anda muncul dalam bingkai atau masukkan butiran secara manual. Anda mungkin diminta untuk memasukkan kod pengesahan yang disediakan oleh pembawa anda.
Ketik Tambah Pelan Selular.
Jika pelan baru ialah talian kedua anda, ikuti arahan atas skrin untuk mengesetkan cara anda mahu pelan berfungsi bersama.
Secara alternatif, anda boleh mengaktifkan pelan selular anda melalui app pembawa anda (jika disokong). Pergi ke App Store, muat turun app pembawa anda, kemudian gunakan app untuk membeli pelan selular.
Anda boleh menyimpan lebih daripada satu eSIM pada iPhone anda, tetapi anda boleh menggunakan hanya satu eSIM pada satu masa. Untuk menukar eSIM, pergi ke Seting > Selular, ketik pelan yang anda mahu gunakan, kemudian ketik Aktifkan Talian Ini.
Jika anda mempunyai nano-SIM, anda boleh menggunakannya sebagai talian kedua anda. Lihat artikel Sokongan Apple Menggunakan Dwi SIM dengan eSIM.
Uruskan pelan selular anda
Pada model dengan Dwi SIM, anda boleh memilih cara iPhone menggunakan setiap talian (iOS 12.1 atau lebih baru).
Pergi ke Seting > Selular, kemudian lakukan satu daripada yang berikut:
Ketik Data Selular, kemudian pilih talian.
Anda boleh memilih hanya satu talian untuk data selular; iPhone menggunakan talian dipilih untuk sebarang aktiviti yang memerlukan data selular, apabila anda tidak bersambung dengan Wi-Fi. Anda mungkin dikenakan cas perayauan jika Perayauan Data aktif dan anda berada di luar rantau yang diliputi oleh rangkaian pembawa.
Ketik Talian Suara Lalai, kemudian pilih talian.
Di bawah Pelan Selular, ketik talian, kemudian tukar seting seperti Label Pelan Selular, Panggilan Wi-Fi, Panggilan pada Peranti Lain, atau PIN SIM. Label muncul dalam Telefon, Mesej dan Kenalan.
Untuk mendaftarkan nombor telefon bagi iMessage dan FaceTime, pergi ke Seting > Mesej > Talian iMessage & FaceTime.
Anda boleh mendaftarkan hanya satu daripada nombor telefon anda untuk iMessage dan FaceTime. Nombor lain anda tidak boleh menghantar atau menerima mesej menggunakan iMessage, atau membuat atau menerima panggilan FaceTime. Tidak kira nombor telefon yang anda daftarkan, iMessage dan FaceTime memindahkan data pada talian data selular anda apabila anda tidak bersambung dengan Wi-Fi; cas selular mungkin dikenakan.
Nota: Apabila menggunakan Dwi SIM, ingat yang berikut:
Apabila anda dalam panggilan telefon, sebarang panggilan pada talian lain anda (termasuk panggilan daripada perkhidmatan kecemasan) pergi terus ke mel suara (jika tersedia daripada pembawa anda); anda tidak menerima pemberitahuan panggilan tidak dijawab.
Jika anda menyediakan pemajuan panggilan bersyarat (jika tersedia daripada pembawa anda) daripada satu talian ke talian yang lain apabila talian sedang sibuk atau tiada dalam perkhidmatan, talian tidak pergi ke mel suara; hubungi pembawa anda untuk mendapatkan maklumat persediaan.
Panggilan menunggu berfungsi hanya untuk panggilan masuk pada talian yang sama.
Jika anda membuat panggilan telefon daripada peranti lain dengan penggantian panggilan menerusi iPhone Dwi SIM anda, panggilan dibuat menggunakan talian suara lalai anda.
Jika anda memulakan perbualan Mesej SMS/MMS menggunakan satu talian, anda tidak boleh menukar perbualan kepada talian lain anda; anda perlu memadam perbualan dan memulakan perbualan yang baru menggunakan talian lain. Anda juga mungkin dikenakan cas tambahan jika anda menghantar lampiran SMS/MMS pada talian yang bukannya talian data selular anda.
Instant Hotspot dan Hotspot Peribadi menggunakan talian yang dipilih untuk data selular.
Pilih seting yang meminimumkan cas selular, terutamanya apabila anda melancong dengan iPhone.
Untuk mendapatkan maklumat tentang mengurus penggunaan data selular anda, lihat Lihat atau tukar seting selular pada iPhone.
Sesetengah pembawa membenarkan anda membuka kunci iPhone untuk menggunakannya dengan pembawa lain (bayaran tambahan mungkin dikenakan). Hubungi pembawa anda untuk mendapatkan maklumat keizinan dan persediaan. Lihat artikel Sokongan Apple Cara membuka kunci iPhone anda untuk digunakan dengan pembawa yang berlainan.