Gunakan iPhone anda sebagai kamera web pada Mac
Dengan Kamera Kesinambungan, anda boleh menggunakan iPhone anda sebagai kamera web atau mikrofon Mac anda dan memanfaatkan kamera iPhone berkuasa serta kesan video tambahan. Anda boleh bersambung secara wayarles, atau dengan kabel USB untuk sambungan berwayar.
Sebelum anda bermula
Sebelum anda boleh menggunakan ciri Kamera Kesinambungan, anda perlu melakukan perkara berikut:
Pastikan Mac anda mempunyai macOS 13 atau lebih baharu dan iPhone anda mempunyai iOS 16 atau lebih baharu.
Nota: Untuk mendayakan semua pilihan Kamera Kesinambungan, Mac anda mesti mempunyai macOS 14 dan iPhone anda mesti mempunyai iOS 17.
Daftar masuk ke kedua-dua peranti dengan Apple ID yang sama.
Aktifkan Wi‑Fi dan Bluetooth® pada kedua-dua peranti.
Pastikan peranti anda memenuhi keperluan sistem. Lihat artikel Sokongan Apple Keperluan sistem untuk Kesinambungan pada peranti Apple.
Lekapkan iPhone anda. Lihat artikel Sokongan Apple Kamera Kesinambungan: Gunakan iPhone sebagai kamera web untuk Mac untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang melekapkan iPhone anda.
Gunakan iPhone anda sebagai kamera web atau mikrofon
Pada Mac anda, buka sebarang app yang mempunyai akses kepada kamera atau mikrofon, seperti FaceTime atau Photo Booth.
Dalam bar menu atau seting app, pilih iPhone anda sebagai kamera atau mikrofon.
App Kesinambungan dibuka pada iPhone anda dan mula menstrim audio atau video daripada kamera belakang ke Mac anda.
Nota: Untuk menggunakan iPhone anda sebagai mikrofon pada Mac tanpa kamera terbina dalam, iPhone mestilah berada dalam orientasi landskap dan pegun serta skrinnya dinyahaktifkan. Sebagai alternatif, anda boleh menyambungkan iPhone anda ke Mac anda dengan kabel USB.
Lakukan mana-mana antara yang berikut:
Jedakan video atau audio: Pada iPhone anda, ketik Jeda, atau leret ke atas untuk membukanya.
Teruskan video atau audio: Pada iPhone anda, ketik Teruskan, atau tekan butang sisi atau butang Tidur/Bangun untuk menguncinya.
Berhenti menggunakan iPhone anda sebagai kamera web atau mikrofon: Pada Mac anda, keluar daripada app.
Keluarkan iPhone anda sebagai pilihan: Pada iPhone anda, ketik Putuskan Sambungan, kemudian sahkan yang anda mahu memutuskan sambungan. iPhone anda dikeluarkan daripada senarai kamera dan mikrofon dalam app serta juga daripada senarai peranti input bunyi dalam seting Bunyi.
Untuk menambah iPhone anda semula, sambungkannya ke Mac anda dengan kabel USB.
Jika anda perlu mengecas iPhone anda semasa Kamera Kesinambungan diaktifkan, gunakan kabel USB untuk hasil terbaik.
Bertukar ke kamera iPhone secara automatik
Mac anda boleh bertukar kepada menggunakan iPhone sebagai input kamera untuk app Mac tertentu secara automatik, seperti FaceTime dan Photo Booth. Untuk melakukan ini, iPhone anda mestilah:
Berada dekat dengan Mac anda
Nyahaktifkan skrinnya
Berada dalam orientasi landskap
Menghadapkan kamera belakang kepada anda dan tidak terhalang
Bukan dalam poket atau dibaringkan di atas meja
Berada dalam keadaan pegun
Jika anda telah menggunakan iPhone anda sebagai kamera web pada Mac anda sebelum ini, app Mac lain juga mungkin mengingatinya sebagai kamera pilihan.
Jadikan iPhone anda sebagai mikrofon lalai
Anda boleh menjadikan iPhone anda sebagai mikrofon lalai untuk Mac anda.
Pada Mac anda, pilih menu Apple > Seting Sistem, kemudian klik Bunyi dalam bar sisi. (Anda mungkin perlu skrol ke bawah.)
Pilih iPhone anda dalam senarai peranti input bunyi.
App Kesinambungan dibuka pada iPhone anda dan mula merakam audio.
Aktifkan Pandangan Meja dan kesan video
Apabila anda menggunakan iPhone anda sebagai kamera web Mac, anda boleh menggunakan ikon Video dalam bar menu untuk menggunakan ciri persidangan video. Contohnya, Pandangan Meja menunjukkan pandangan atas bawah meja anda dan Cahaya Studio memalapkan latar belakang dan menerangi muka anda.
Lihat Gunakan Pandangan Meja dan Gunakan ciri persidangan video.
Jika anda tidak melihat iPhone anda sebagai pilihan kamera atau mikrofon
Jika anda tidak melihat iPhone anda dalam senarai kamera atau mikrofon dalam app atau seting Bunyi, cuba berikut.
Sambungkannya ke Mac anda dengan kabel USB dan semak lagi. (Jika ia telah disambungkan dengan kabel, putuskan sambungannya dan sambungkannya semula.)
Periksa yang berikut:
iPhone anda ialah iPhone XR atau lebih baharu.
iPhone anda mempunyai iOS 16 atau lebih baharu.
Mac anda mempunyai macOS 13 atau lebih baharu.
iPhone anda mengaktifkan Kamera Kesinambungan dalam Seting > Umum > AirPlay & Handoff.
iPhone anda mengenali Mac sebagai komputer yang dipercayai. Lihat artikel Sokongan Apple Perihal mesej isyarat ‘Percaya Komputer Ini’ pada iPhone, iPad atau iPod touch anda.
iPhone dan Mac anda mengaktifkan Wi-Fi, Bluetooth dan pengesahan dua faktor.
iPhone dan Mac anda didaftar masuk dengan Apple ID yang sama. (Ciri ini tidak berfungsi dengan Apple ID Terurus.)
iPhone dan Mac anda dalam lingkungan 30 kaki daripada satu sama lain.
iPhone anda tidak berkongsi sambungan selular dan Mac anda tidak berkongsi sambungan internet.
App video pilihan anda dikemas kini ke versi terkini.
Nota: Jika Mac anda tidak mempunyai kamera terbina dalam, iPhone anda boleh dilihat sebagai kamera selagi ia memenuhi semua keadaan untuk bertukar ke kamera iPhone secara automatik. Anda juga boleh menyambungkan iPhone anda ke Mac anda dengan kabel USB.
Anda juga boleh menggunakan Kamera Kesinambungan untuk mengimbas dokumen atau mengambil gambar sesuatu yang berdekatan dan menjadikannya kelihatan serta-merta pada Mac anda. Lihat Masukkan foto dan imbasan dengan Kamera Kesinambungan.