Pastikan Akaun Apple anda selamat pada Mac
Akaun Apple anda ialah akaun yang anda gunakan untuk mengakses perkhidmatan Apple seperti App Store, Apple Music, iCloud, iMessage, FaceTime dan banyak lagi. Akaun anda termasuk alamat e-mel dan kata laluan yang anda gunakan untuk mendaftar masuk serta butiran kenalan, bayaran dan keselamatan yang anda gunakan merentas perkhidmatan Apple.
Amalan terbaik untuk memaksimumkan keselamatan Akaun Apple anda
Jangan kongsi Akaun Apple anda dengan orang lain, walaupun dengan ahli keluarga.
Anda boleh menamakan sehingga lima orang yang anda percayai sebagai kenalan pemulihan akaun untuk membantu anda mendapatkan semula akses kepada akaun anda sekiranya anda terkunci keluar. Anda juga boleh menetapkan orang sebagai Kenalan Legasi sekiranya anda meninggal dunia. Lihat Sediakan maklumat daftar masuk dan keselamatan Akaun Apple anda.
Untuk berkongsi pembelian, langganan, kalendar keluarga dan banyak lagi tanpa berkongsi Akaun Apple, sediakan Perkongsian Keluarga.
Jangan berikan kata laluan, soalan keselamatan, kod pengesahan, kunci pemulihan atau sebarang butiran keselamatan akaun anda yang lain kepada orang lain. Apple tidak akan meminta maklumat ini daripada anda.
Jangan gunakan kata laluan Akaun Apple anda dengan akaun dalam talian yang lain.
Semasa menggunakan komputer awam, sentiasa daftar keluar apabila sesi anda selesai untuk menghalang orang lain daripada mengakses akaun anda.
Aktifkan pengesahan dua faktor untuk menambah lapisan keselamatan tambahan ke akaun anda. Jika anda mencipta Akaun Apple baharu pada peranti dengan iOS 13.4, iPadOS 13.4, macOS 10.15.4, atau lebih baharu, akaun anda menggunakan pengesahan dua faktor secara automatik. Jika anda mencipta Akaun Apple tanpa pengesahan dua faktor sebelum ini, aktifkan pengesahan dua faktor. Lihat Gunakan pengesahan dua faktor untuk keselamatan Akaun Apple.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang amalan terbaik, lihat artikel Sokongan Apple Keselamatan dan Akaun Apple anda.